Rabu, 13 April 2011

Harapan kepada Aceh 'baru'

Masjid Rahmatullah satu-satunya yang masih teguh saat kawasan lain di lampuuk, Aceh besar bagaikan padang jarak padang tekukur akibat hentaman tsunami 2004.



Awal pagi itu seperti biasa, Ah Hock atau mahu dikenali sebagai Sofyan membuka kedai menjual produk kosmetik dengan harapan kedainya dikunjungi lebih ramai pelanggan berbanding hari biasa.
Premisnya antara deretan kedai yang terletak di sepanjang Jalan Diponogoro, Banda Aceh. Iaitu hanya beberapa meter sahaja dari masjid paling bersejarah, Masjid Raya Baitur Rahman.
Namun belum sempat Sofyan menjenguk kepala meninjau-ninjau suasana pagi yang cerah itu, tiba-tiba semuanya bergoncang dan bergoyang. Kepala menjadi 'pusing' apabila bumi yang dipijak mula bergegar kuat.
Segera beliau berpaut pada pintu kedai dengan hatinya semakin berdebar apabila terdengar teriakan demi teriakan bagai diserang histeria: "Air laut naik! Air laut naik! Air laut naik!"
"Tidak mungkin, tidak mungkin. Laut sahaja hampir tujuh kilometer (km) dari Banda Aceh. Bagaimana bisa mampu sampai ke mari," getus hatinya.
Sofyan merupakan antara ribuan penghuni Banda Aceh yang dilihat cuba berlari sederas kuda menyelamatkan diri daripada ombak besar yang tiba-tiba melanda seluruh kota dengan ketinggian luar biasa dalam malapetaka alam yang paling menyayat hati - tsunami pada 26 Disember 2004 - iaitu hampir tujuh tahun lalu.
"Apabila yang lainnya berlari dengan ombak yang mengejar, entah mengapa saya berlari menentang arus. Walaupun hampir-hampir lemas akibat dihempas ombak namun akhirnya saya terselamat daripada menjadi korban tsunami apabila berjaya sampai di Masjid Raya Baitur Rahman.
"Sebagaimana ramai yang lain yang cuba berlindung di situ, kami akhirnya selamat di masjid itu," katanya.
Sofyan benar-benar menyaksikan amukan tsunami yang amat dahsyat. Ia meragut terlalu banyak nyawa. Apabila ombak reda mayat yang bergelimpangan tidak terhitung banyaknya di sana sini.
Semua itu disaksikan Sofyan ketika alam perjalanan pulang ke kedainya sejurus ombak reda.
"Semuanya mati bagai terkena kejutan elektrik. Kedai saya sendiri, disapu bersih oleh tsunami.
"Tiada satu apa pun yang tinggal. Semuanya musnah, hancur dengan kerugian yang tidak tertanggung," katanya.
Sofyan sendiri turut kehilangan beberapa anggota keluarga termasuk mertuanya yang mendiami Kampung Kedah di Banda Acheh.
Sehingga kini mayat ahli keluarganya yang terkorban itu tidak pernah ditemuinya.
Mungkin semuanya telah dikebumikan secara berama-ramai dalam Kubur-kubur Massal (Kubur Besar) di serata Aceh.
Tetapi dia melihat sendiri bagaimana keadaan mayat rakan yang berniaga di sebelah kedainya yang ditemui dalam keadaan cukup tragis.
"Kepalanya tidak dijumpai. Hanya tinggal badannya sahaja yang dikerat oleh tsunami," ujarnya.
Sebaik selepas tsunami bagai kiamat kecil itu Sofyan menyaksikan Banda Aceh bertukar menjadi 'kota mati'.
Bukan sahaja sebahagian besar penduduknya menjadi korban, malah lebih 50 peratus struktur bangunan di kota itu musnah sama sekali.
Kini tragedi ngeri itu telah lama berlalu. Imej 'kota mati' pada Banda Aceh sebelum ini juga mulai berubah.
Kota itu yang merupakan antara lokasi paling teruk di landa tsunami bukan sahaja kembali hidup malah, wajahnya mengalami pelbagai perubahan di sana sini.
"Namun saya yakin Banda Aceh akan tetap menjadi 'kota mati' sehingga kini jika tidak kerana banyak bantuan yang diterima daripada orang asing," kata Sofyan penuh makna.
Penulis sempat memanjat 192 anak tangga menara induk Masjid Baitur Rahman yang terletak di tengah-tengah kota bagi menyaksikan panorama seluruh Banda Aceh dari puncaknya.
Dari puncak menara masjid itu, ia memberikan pemandangan Banda Aceh yang cukup Indah. Dari puncak itu juga jelas kota ini kembali rancak dengan pelbagai aktiviti sosial dan ekonomi.
Betapa pun sayup dan sayu mata menikmati panorama Banda Aceh dari puncak menara itu, namun hati tetap berkongsi rasa akan betapa peritnya ia untuk bangun daripada sebuah 'kematian'!
Justeru pengalaman selama hampir seminggu mengikuti krew TV9 bagi menjalani pengambaran program realiti televisyen berkonsep agama, Akademi Al-Quran musim kelima (AQ5) di Aceh baru-baru ini memberi pelbagai dimensi baru mengenai Aceh, terutama pasca tsunami.
Seperkara yang ketara ialah pengalaman bersama seluruh penduduk sebuah kampung Blang Krung ketika menghadiri majlis Khaflah (majlis pembacaan al-Quran).
Sebelum tragedi tsunami 2004 kampung itu didiami 1,500 penduduk. Namun 450 daripadanya terkorban akibat tsunami.
Namun apa yang menarik diperhatikan apabila begitu ramai kanak-kanak terutama berusia bawah enam tahun memeriahkan majlis tersebut.
Terdapat hampir 100 kanak-kanak. Yang perempuannya lengkap dan comel berkerudung. Masing-masing ada yang khusyuk mengikuti pembacaan al-Quran dan tidak kurang yang berlari ke sana sini. Namun yang jelas, Aceh kini mengalami kelahiran generasi baru pasca tsunami secara besar-besaran. Tidaklah matlamatnya bagi menggantikan ratusan ribu rakyat yang terkorban dalam tragedi tahun 2004 itu namun begitulah keadaannya kini.